Salam Maal Hijrah 1440H


Kita hidup dalam keadaan serba canggih. Kini, perjalanan dari Mekah ke Madinah hanya mengambil masa beberapa jam.

Tidak hairanlah, ramai yang tidak dapat memahami atau tidak menghargai kehebatan hijrah Nabi Muhammad s.a.w dari Mekah ke Madinah.

"Tak boleh nak brain", kata anak muda sekarang yang leka dengan kesenangan dan kemudahan.

Memang sukar untuk bayangkan kehidupan 1,440 tahun yang lalu. Serba-serbi  yang kita anggap biasa pada hari ini, tidak ada pada masa itu.

Jalanraya tidak ada. Kenderaan tidak ada. Agensi pelancongan tidak ada. Yang asas seperti letrik, air paip dan tandas pun tidak ada.

Ditambah pula dengan keadaan keselamatan Rasulullah yang terancam pada masa itu.

Jadi, bagaimana Nabi Muhammad s.a.w. berjaya melakukannya?

Hijrah Nabi Muhammad s.a.w. bukan sekadar perjalanan 3 hari menunggang unta dari Mekah ke Madinah.

Hijrah tersebut ialah untuk keluar dari satu keadaan yang tidak kondusif dan tidak produktif. Ada visi. Ada misi.

Sebagai Ahli Parlimen, saya memandang hijrah ini dari sudut 3P. Perancangan, perlaksanaan dan pencapaian. 

Rasulullah bukan sekadar berserah pada Allah semata-mata.

Tawakal Rasulullah ialah selepas setiap usaha di setiap peringkat telah berjaya dilaksanakan.

Bagaimana Rasulullah yang tidak ada pendidikan formal dalam bidang pengurusan, mampu

1. membuat perancangan rahsia yang sangat teliti.
2. memilih orang-orang yang layak dan mampu melaksanakan perancangan baginda tanpa mengira jantina, usia dan latar belakang.

Perancangan seperti memilih lokasi Madinah.

Perancangan menghantar orang-orang Islam ke lokasi baru untuk bersedia menyambut baginda.

Perancangan perjalanan yang penuh rahsia dan sangat berbahaya.

Mengisi pencapaian di Madinah dengan menggandakan usaha dan meningkatkan produktiviti sehingga Mekah mampu ditawan.

Rasulullah bukan tinggalkan Mekah begitu sahaja.

Kita baca bagaimana amanah penduduk yang dijaga oleh Rasulullah sebelum hijrah, diserahkan kepada anak muda untuk diselesaikan selepas penghijrahan baginda.

Mengapa baginda bersembunyi di gua sebelum perjalanan ke Madinah.

Mengapa wanita pula dipilih untuk menghantarkan bekalan makanan supaya tidak disyaki oleh musuh.

Kita baca juga bagaimana Rasulullah memilih anak muda untuk memadam kesan jejak perjalanan baginda berdua ke Madinah.

Selepas berjaya sampai ke Madinah, baginda dan orang Islam bukan leka dan bersenang-lenang.

Baginda mengambil kesempatan dengan keadaan yang kondusif dan selamat itu untuk lebih produktif.

Membina masjid. Membuat perancangan untuk kembali ke Mekah.

Hasilnya, Mekah yang dahulunya tempat musuh, telah berjaya dikuasai oleh umat Islam.

Ini semua pengajaran buat kita.

Peranan wanita. Peranan anak muda. Peranan bukan Islam. Semuanya ada dan diurus dengan baik oleh Nabi Muhammad s.a.w.

Hijrah digalakkan sebagai usaha mengubah keadaan supaya usaha yang gagal dalam keadaan sedia ada, mejadi berjaya bila keadaan berubah.

Sebelum Malaysia merdeka, ramai anak muda yang berhijrah ke luar negara. Mereka lakukan dengan bekerja di kapal. Kemudian baru mereka berjaya tinggal di serata dunia.

Selepas merdeka, berlaku pula penghijrahan anak muda dari luar bandar ke bandar untuk mencari pekerjaan.

Ada yang berjaya.

Ada yang gagal dan kembali ke kampung sebab leka dan tidak produktif bila keadaan di bandar lebih baik dari di kampung.

Ada yang berhijrah untuk melanjutkan pelajaran. Ada yang berhijrah untuk kerjaya seperti artis dan sebagainya.


Apa sekalipun hijrah anda, ambil iktibar dari hijrah Nabi Muhammad s.a.w.

Dahulukan usaha dan serah kepada Allah S.W.T. untuk memberkati dan memudahkan segala-galanya.

Selepas berjaya, jangan leka dan terpedaya dengan kesenangan. Buat persiapan untuk hari tua seperti menabung dan sebagainya.

Tingkatkan usaha, tingkatkan produktiviti dan bersyukur.

Selamat Menyambut Awal Muharram 1440 Hijrah.

Ikhlas dari saya,

YB Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin

Comments

Popular posts from this blog

Bila PM Tidak Puas Hati

Sayangi Malaysiaku