Bila PM Tidak Puas Hati

Terkejut merupakan perkataan yang sering digunakan sekarang. Hahaha.

Maka ramailah yang terkejut bila Perdana Menteri, YAB Tun Dr Mahathir mengakui yang beliau tidak puas hati dengan Menteri Kabinet yang ada sekarang.

Bukan saya yang cakap. Boleh rujuk di SINI dan SINI.

Saya tidak terkejut dengan kenyataan PM.

Saya pernah berada dalam kerajaan. Bukan mudah tugas seorang Menteri Kabinet.

Apatah lagi, kita sekarang berada di era media sosial di mana rakyat mudah dan cepat mendapat maklumat.

Lebih pantas maklumat sampai kepada rakyat maka lebih cepatlah kritikan dan penghakiman rakyat kepada kerajaan.

Harapan rakyat boleh saya katakan terlalu tinggi. Tetapi ini tidak menghairankan. Jangan terkejut.

Telah berpuluh tahun kerajaan hari ini mengkritik dan menawarkan pelbagai janji kepada rakyat supaya rakyat membuat perubahan.

Kali ini rakyat telah membuat perubahan.

Oleh itu, giliran kerajaan Pakatan Harapan pula untuk melaksanakan perubahan yang diharap-harapkan oleh rakyat.

Alasan atau menuding jari kepada kesilapan pemerintah terdahulu tidak akan memberi faedah kepada kehidupan rakyat.

Rakyat mahukan tindakan segera. Kalau cara dahulu tidak betul, rakyat mahu yang betul.

Maka, menteri kabinet perlu tingkatkan usaha menyelesaikan isu rakyat secepat mungkin.

Kuasa dan keseluruhan jentera pentadbiran telah diberikan.

Isu perumahan, isu pekerjaan dan gaji serta kos sara hidup yang tinggi perlu menjadi agenda utama.

Pengumuman kenaikan gaji minima sebanyak RM50 pada tahun hadapan adalah contoh perubahan yang tidak menggembirakan rakyat.

Berapa ramai yang bergaji minima? Rata-rata pekerja gaji minima ialah pekerja baru atau pekerja asing. Bukan majoriti pekerja tempatan.

Gaji minima dilaksanakan sebagai perlindungan asas kepada pekerja supaya mereka tidak ditindas oleh majikan yang tamak dan memberi upah yang sangat rendah.

Setiap kenaikan gaji minima akan lebih menguntungkan pekerja asing dan membebankan majikan jika jumlahnya terlalu besar dan tidak seiring dengan produktiviti.

Kepada yang tidak tahu, mengikut undang-undang antarabangsa, gaji minima mesti sama antara pekerja tempatan dan asing.

Pada pandangan saya, pendapatan sehingga RM1,700 sebulan boleh dilaksanakan segera tanpa kenaikan gaji minima atau beban tambahan kepada majikan.

Bagaimana?

Satu cara ialah dengan memberikan opsyen sementara kepada rakyat yang berpendapatan rendah. RM3,000 ke bawah misalnya.

Mengikut undang-undang, semua pekerja tempatan swasta wajib mencarum.

Wang caruman pekerja yang bergaji minima sekarang paling sedikit pun RM246 sebulan.

Manakala, yang bergaji RM2,100 seperti graduan baru atau pekerja berpengalaman bersijil ialah RM500 sebulan.

Jika wang ini dipindahkan dari KWSP kepada pekerja, maka selesailah satu masalah dan tertunailah janji.

Pendapatan pekerja bawah RM3,000 sebulan akan meningkat antara RM246 hingga RM726 sebulan. Satu perubahan yang mungkin menentukan samada pekerja tersebut layak atau tidak membuat pinjaman bank untuk membeli rumah misalnya.

Sudah pasti langkah sementara ini tidak boleh dikekalkan kerana pekerja perlukan perlindungan hari tua.

Namun, setidak-tidaknya masalah kos sara hidup semasa yang dialami rakyat miskin dapat diselesaikan segera.

Ini hanya satu idea saya yang mungkin boleh diperhalusi oleh menteri kabinet.

Kekurangan caruman akibat dari cadangan ini boleh diatasi dengan tambahan caruman oleh pekerja berpendapatan tinggi.

Apabila keadaan ekonomi negara semakin baik maka naikkanlah gaji atau fikirkan elaun khas yang bersesuaian dengan pekerja tempatan mengikut lokasi dan sektor pekerjaan.

Bila itu berlaku maka tamatkan opsyen sementara yang saya cadangkan itu.

Apa pula pandangan dan cadangan anda? Kongsi dan bahaskan dalam ruangan komen di bawah.

Mengkritik itu mudah tetapi hanya penyelesaian boleh membawa kepada perubahan.


Selamat Hari Malaysia. Sayangi Malaysiaku.
YB Datuk Wira Mas Ermieyati

Comments

Popular posts from this blog

Sayangi Malaysiaku

Salam Maal Hijrah 1440H