Sayangi Malaysiaku

Tanggal 31 haribulan 8, tahun 1957. 61 tahun yang lalu. Malaysia merdeka.

Bukan sebarang merdeka. Tetapi merdekanya sebuah negara yang berpaksikan muafakat serta toleransi tahap tertinggi demi kesejahteraan, kemakmuran dan keharmonian pelbagai kaum.

Merdeka dengan jaminan kuasa memilih kepada semua rakyatnya tanpa mengira kaum mahupun jantina.

Ya, memang. Bunyinya macam tiada apa-apa yang istimewa. Tetapi, kita sangat bertuah jika dibandingkan dengan merdekanya negara lain di dunia.

Di negara lain di dunia, kemerdekaan tidak menjamin hak memilih oleh semua bangsa dan jantina.

Di UK, wanitanya terpaksa berjuang menentang diskriminasi selama beratus-ratus tahun sebelum mendapat hak yang sama.

Begitu juga di Amerika Syarikat. "Land of the Free". Kaum bukan kulit putih, orang asli dan wanitanya terpaksa menunggu dan berjuang lebih seratus tahun sejak Deklarasi Kemerdekaan negara tersebut sebelum mereka mendapat hak mengundi.

Sebaliknya, Malaysia merdeka dengan jaminan hak tanpa diskriminasi kaum dan jantina. Bersyukurlah.

Pelbagai bangsa telah meletakkan calon wakil rakyat masing-masing sejak pilihan raya umum yang pertama. Sesuatu yang mustahil dan tidak boleh diterima oleh mana-mana negara lain di dunia.

Malah, wanita juga tidak ketinggalan. Hajah Zain bin Haji Sulaiman atau lebih dikenali sebagai Ibu Zain turut menjadi calon wakil rakyat wanita pada Pilihan Raya Umum yang Pertama.

Tahun ini, selepas 61 tahun Malaysia merdeka, amalan Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan yang diamalkan Malaysia telah melangkah satu lagi tanda aras yang baru apabila majoriti rakyat, buat pertama kalinya memilih kerajaan yang baru.

Samada tanda aras yang baru ini akan membawa kepada kesejahteraan dan kemakmuran negara yang lebih baik dari sebelumnya, segalanya terletak di bahu kita sebagai rakyat Malaysia.

Bagaimanakah kita hendak mencorak dan menetapkan hala tuju negara selepas ini?

Mampukah kepimpinan yang selama ini hanya meluahkan aspirasi dan kritikan tanpa diberi kuasa memimpin negara memikul amanah yang berat ini?

Untuk itu, saya rasa, kita tidak perlu melihat jauh.

Bacalah dan fahamilah sejarah bagaimana pemimpin terdahulu berjaya melakukannya.

Ambil contoh bagaimana pemimpin negara terdahulu yang terdiri dari pelbagai kaum dan golongan boleh sepakat mencapai satu persetujuan yang berteraskan satu perlembagaan.

Pada masa itu, tuntutan hak mana-mana kaum tidak pernah dianggap rasis.

Ia dianggap sebagai kehendak dan keperluan sesatu kaum.

Kehendak ini perlu diwakili, didengar, diperhalusi dan dicari jalan penyelesaian yang boleh diterima oleh semua.

Usaha gigih mereka yang ikhlas dan dengan sikap toleransi yang tinggi telah membuahkan hasil yang paling berharga. Sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.

Sebaliknya, akhir-akhir ini, kehendak sesatu kaum dianggap rasis, menjijikkan dan tidak perlu dilayan.

Ini sama sekali bertentangan dengan nilai murni yang ditunjukkan oleh pemimpin terdahulu.

Sayang sekali, di kalangan kita, ada yang mudah terpengaruh dengan hasutan dan kata-kata yang tersirat. Kata-kata yang hanya akan merosakkan keharmonian antara kaum yang sekian lama kita nikmati.

Malah, Bahasa Malaysia pun kalau boleh, mahu dilayan seperti bahasa kedua.

Sedangkan, kepentingan pelbagai bahasa tidak bermakna bahasa rasmi negara tidak lagi penting.

Wahai rakyat Malaysia yang berbilang kaum. Sedarlah.

Kita tidak boleh menjamin kesejahteraan dan kemakmuran negara secara bersendirian.

Setiap kaum dalam negara majmuk bernama Malaysia ini saling memerlukan antara satu sama lain.

Berat sama dipikul, ringan sama dijinjing.

Sempena hari kemerdekaan ini, marilah kita sama-sama memahatkan sifat muafakat dan toleransi yang tinggi ke dalam hati kita.

Utamakan kepentingan pertiwi daripada kepentingan diri.

Jangan sesekali kita cuba meniti landasan yang membawa kepada musibah di masa akan datang.

Negara Malaysia milik kita. Sayangi Malaysiaku.

Selamat menyambut Hari Kemerdekaan yang ke-61. Merdeka! Merdeka! Merdeka!


31hb Ogos 2018
YB Datuk Wira Mas Ermieyati binti Haji Samsudin

Comments

Popular posts from this blog

Bila PM Tidak Puas Hati

Salam Maal Hijrah 1440H